Penghujung tahun 2021 berakhir dengan sesuatu yang memilukan kami sekeluarga. Perginya emak yang kami kasihi setelah lebih kurang 4 tahun berjuang melawan penyakitnya, endometrial cancer (kanser dinding rahim). Bermula dengan pendarahan seperti datang haid walaupun telah menopause, follow up dengan doktor pakar mengesahkan mak menghidap endometrial cancer tahap 1. Doktor sarankan buat pembedahan buang rahim untuk mengelakkan sel2 kanser daripada terus merebak. Maka kami akur dan mak selamat menjalani pembedahan pada bulan Julai 2018.
Malangnya keputusan CT scan selepas pembedahan menunjukkan ada sel2 kanser yang telah merebak sedikit luar daripada dinding rahim dan mak perlu menjalani radiotherapy and chemotherapy. Perjalanan yang panjang daripada 2018 hingga 2021 tapi mak tetap positif dan bersemangat mengikuti rawatan yang doktor sarankan. Sepanjang mak sakit mak masih boleh uruskan diri sendiri walaupun ada ketikanya dia sangat letih. Mak masih boleh solat sendiri juga.
Tahun 2019, selepas selesai rawatan chemotherapy dan mak rasa sihat sikit, mak ajak kami pergi buat umrah. Dia teringin sangat nak ke sana. Maka aku uruskan booking dan kami dijangka bertolak pada bulan Mac, 2020. Tapi siapa sangka takdir Allah virus COVID 19 mula melanda dunia dan Arab Saudi menyekat kemasukan jemaah umrah hanya seminggu sebelum tarikh kami bertolak. Sedih rasa hati tapi mak redha. Semoga Allah terima niat ikhlas kami yang ingin ke sana walaupun tidak kesampaian.
Takdir Allah juga, pada ketika blog ini ditulis, 2 Januari 2022, virus COVID 19 masih berleluasa di dalam komuniti. Mak pergi meninggalkan dunia yang fana ini pada tanggal 29 Disember 2021 bersamaan dengan 24 Jamadilawal 1443 H. Lebih kurang sebulan sebelumnya, 16 Nov 2021, aku pergi temankan mak follow up di HKL macam biasa. Doktor maklumkan yang kanser mak aktif semula dan dah sampai tahap akhir (advanced endometrial cancer). Tiada rawatan yang boleh dilakukan lagi kerana risiko untuk jadi lebih teruk sangat tinggi. Doktor bagitahu juga yang 'masa' mak dah tak lama tapi doktor cakap perlahan & in English dengan aku. Mungkin dia taknak mak dengar dan jadi patah semangat. Aku tak tau mak faham ke tak apa yang doktor sampaikan. Mak masih lagi positif. Doktor beri pilihan kalau mak nak buat radiotherapy untuk kurangkan bengkak di bahu mak tapi rawatan tu tak menyembuhkan pun kerana sel2 kanser dah merebak ke banyak bahagian badan. Mak serahkan kpd aku untuk buat keputusan. Aku putuskan mak ikut aku balik dan tinggal di rumah aku sahaja. Lebih baik mak habiskan sisa masa yang ada ni bersama anak cucu.
Aku masih tenang ketika bercakap dengan doktor dan mak. Tapi ketika dalam perjalanan seorang diri ke tempat parking, air mata menitis perlahan-lahan. Sampai sahaja di dalam kereta, aku keluarkan semua rasa yang terpendam tadi. Menangis semahunya. Dan aku mesej angah apa yang doktor beritahu tadi. Kami berjanji cuba buat yang terbaik untuk mak dan bagi mak happy2 sahaja.
Mak duduk dengan aku sampai 25 Disember 2021. Angah datang nak ambil mak duduk di rumahnya pula. Katanya dah ambil cuti seminggu nak spend masa dengan mak. Masa salam dengan mak, hati aku rasa sayu seolah2 itu kali terakhir aku bersalam dengan mak. Tapi aku anggap itu cuma perasaan aku shj. Pada tarikh 29 Disember 2021 (rabu), lebih kurang jam 3 pagi, tiba2 aku dapat panggilan telefon daripada adik ipar (Ifah) sambil menangis. Dia kata mak sakit perut sangat. Angah dah hantar mak ke hospital. Aku yang masih mamai tu terduduk sekejap fikirkan apa yang Ifah cakap. Aku dah tak boleh tidur. Aku lipat kain dan solat tahajjud sementara tunggu update daripada angah. Kemudian angah call katanya dah hantar mak ke Hospital Putrajaya sebab itu yang paling dekat dengan rumahnya. Doktor tanya aku beberapa soalan pasal sejarah penyakit mak. Dia kata diorang dah try call HKL tapi tak ada orang angkat. Jadi dia minta waris pergi ke HKL dan dapatkan rekod rawatan mak untuk dibawa ke Hospital Putrajaya.
Pukul 8 pagi aku sampai di HKL, tapi mereka tak benarkan aku bawa keluar rekod perubatan mak. Katanya hanya doktor sahaja yang boleh request. Rasa kecewa juga kerana susah payah aku datang tapi tak apa lah. Malas nak fikir. Aku terus bergerak ke Hospital Putrajaya pula. Sampai sahaja di sana aku jumpa angah di lobby. Angah beritahu keadaan mak kritikal. Fungsi organ sangat lemah. Kami tak boleh masuk jumpa mak lagi. Sementara menunggu, aku baca Al Quran mana yang sempat. Dalam pukul 12.30pm, doktor telefon suruh datang ke bahagian kecemasan. Abah pun dah sampai masa ni. Sekumpulan doktor bagi briefing tentang keadaan mak. Mereka kata keadaan mak sangat lemah. Daripada x-ray nampak macam usus mak bocor tapi bila mereka tekan2 perut, perut mak lembut je macam orang normal. Kalau ada masalah usus sepatutnya perut mak keras. Untuk dapat confirmation, sepatutnya mereka buat CT scan tapi mereka buat keputusan untuk tak teruskan kerana tak nak menyakitkan emak. Even prosedur CPR pun mereka tak buat. Mereka kata pada tahap ni mereka hanya nak memudahkan mak. Aku faham. Mereka kemudian bagi seorang sahaja waris masuk untuk jumpa mak. Aku mohon untuk masuk. Mereka beri protective suit untuk aku pakai dan masuk ke unit kecemasan. Sebaik sahaja aku nampak mak, terus aku bisik ke telinga mak. "Assalamualaikum mak. Ni akak datang. Mak, akak minta maaf salah silap akak". Air mata mengalir. Masa ni mata mak pandang ke atas saja. Aku bisik ke telinga mak. " Laailahailallah.. Laailahailallah.. Laailahailallah.." Tiba2 aku nampak bibir mak bergerak. Machine di tepi berbunyi kuat. Doktor datang suluh anak mata mak. Doktor kata, "Minta maaf Puan. Ibu Puan dah tak ada". Mak menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.01 pm. Ya Allah! Aku menangis semahunya kat situ. Kenapa cepat sangat. Seolah2 mak memang tunggu aku sebelum dia pergi. Aku tak pernah tengok kematian depan mata semudah ini. Hati aku pilu sebab rasa aku belum buat yang terbaik untuk mak, banyak kelemahan aku yang asyik sibuk dengan kerja dan keluarga sendiri. Ya Allah, bagilah aku kekuatan untuk berdamai dengan takdirmu. Peluang yang aku ada sekarang hanyalah dengan menjadi anak yang solehah, yang selalu mengirimkan doa buat emak di alam sana. Semoga aku tidak pernah lupa akan hal ini.
Mak.. akak doakan mak tenang di sana, dilapangkan kubur mak menjadi taman syurga, dan mak dapat berjumpa dengan orang2 yang mak sayang yg telah pergi dahulu sebelum mak. Kami pula akan menyusul selepas ini.
Sedikit gambar kenangan bersama mak. Aku tahu, mak memang berdoa sungguh2 supaya dipermudahkan akhir hayatnya. Dia tak mahu menyusahkan orang disekelilingnya. Tak pernah pun mak marah kalau aku lambat datang bila mak panggil. Bila urut badan pun, sekejap je mak kata dah la tu. Kamu ada kerja lain pula nak buat. Ya Allah, semoga aku mewarisi sifat2 baik emak.
Follow up di HKL
Alhamdulillah. Sempat ambil gambar di studio dengan mak pada 28 November 2021. Masa ni mak dah tak larat sebenarnya. Tapi mak gagahkan juga naik tangga tingkat 1 nk ke studio. Banyak kali berhenti. Kesian mak. Tapi mak semangat nak raikan konvo master angah.
Adik beradik Idah datang (27/11/2021). Alhamdulillah semua dapat jumpa mak. Masa ni kita happy2 makan sambil sambut birthday Zahrah.
Semoga Allah angkat darjat emak disisinya. Mak disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih (Fasa 2), KL. Al-Fatihah untuk Nor Aini binti Md Daud, 1.3.1952 - 29.12.2021.